Friday, February 4, 2011

Sektor pertanian sedia 75,000 peluang pekerjaan

PUTRAJAYA 24 Jan. - Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang melibatkan aktiviti pertanian dijangka mampu mencipta 75,000 peluang pekerjaan sepanjang lima tahun akan datang.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar (gambar) berkata, kementerian kini diamanahkan oleh kerajaan untuk melaksanakan 16 buah Projek Permulaan (EPP) membabitkan pelbagai perusahaan pertanian yang merangkumi tiga sub utama iaitu rumpai laut, burung walit dan ikan hiasan.
Menurutnya, melalui pelaksanaan projek tersebut, ia akan mampu membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat dan juga pelatih dalam industri pertanian.
"Pelaksanaan EPP melibatkan banyak inisiatif membabitkan modal insan yang berkebolehan selain mempunyai kepakaran khusus.
"Oleh itu melalui pelaksanaan EPP tersebut, kementerian menganggarkan mampu menawarkan 75,000 peluang pekerjaan baru dari peringkat bawahan sehingga tahap pekerja mahir," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Penasihat Latihan Pertanian Kebangsaan (MPLPK) di sini hari ini.
Menurut Noh, MPLPK ditubuhkan sebagai badan penasihat di peringkat kementerian ke atas perkara-perkara yang berkaitan pembangunan, penyelarasan, pelaksanaan dan penilaian semua program latihan membabitkan industri pertanian.
Selain itu, kata beliau, penubuhan majlis tersebut berasaskan kepada keperluan kementerian untuk menyelaras program latihan secara bersepadu, efektif, bersistematik dan membangunkan modal insan melalui latihan.
"Sehubungan itu MPLPK akan memainkan peranan penting dalam menentukan halatuju dan dasar-dasar program latihan pertanian selain mengiktiraf dan memperakukan program latihan yang dibangunkan oleh industri pertanian," katanya.
Sementara itu, kata beliau, MPLPK tersebut akan dipengerusikan oleh Mohamad Hashim dan ia terdiri daripada 28 ahli tetap dan 22 ahli ganti.
"Kesemua ahli MPLPK yang dilantik mempunyai pengalaman dan kepakaran khusus dalam sektor pertanian.
"Mereka berperanan untuk memantau secara dekat keperluan fizikal program latihan pertanian supaya pelaksanaan latihan mematuhi piawaian yang telah ditetapkan," katanya.
--Sumber dari Utusan Online--
(Utusan 24 Januari 2011)

No comments:

Post a Comment